JPro

PANDEMIK COVID-19 MENCETUS SEMANGAT PATRIOTIK

Pada hari ini kita menyaksikan lakaran sejarah baru yang telah ditulis, seluruh dunia sedang melancarkan perang melawan Covid-19. Bermula dari awal tahun 2019 sehingga ke hari ini perjuangan ini belum selesai sepenuhnya, bahkan kesemua rakyat Malaysia perlu bersedia berkorban, dengan tidak meraikan pelbagai peristiwa besar setiap tahun, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji, Tahun Baru Cina, Deepavali dan pelbagai lagi peristiwa besar yang akan disambut dengan meriah setiap tahun. Bukan sahaja tidak dapat meraikan, tetapi untuk melintasi sempadan daerah dan negeri jugak kita perlu mengikuti SOP yang telah digariskan, bukan boleh bergerak sesuka hati. Perkara ini bukan sahaja dihadapi oleh kita, tetapi seluruh dunia sedang menghadapi pendemik ini.
 
Namun kehadiran pendemik ini, tidak mampu melunturkan semangat patriotik yang ada dalam diri rakyat Malaysia. Walaupun Hari Kemerdekaan tidak disambut seperti tahun sebelum kehadiran pendemik, tetapi Hari Kemerdekaan tetap disambut dengan meriah oleh seluruh rakyat Malaysia. Bahkan rakyat Malaysia bersatu menjadi ‘Keluarga Malaysia’ dalam menghadapi Covid-19. Antara perkara yang dilaksanakan bagi menunjukkan semangat Patriotik dalam suasana pendemik:
 
1. Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh
 
Dari awal pendemik melanda negara, rakyat Malaysia bersatu hati dengan menolong satu sama lain merentasi warna kulit, bangsa, agama, politik, memberi bantuan dan pertolongan kepada masyarakat sekitar yang terjejas sehingga wujudnya #KitaJagaKita dan kempen kibarkan bendera putih, bukan itu sahaja, rakyat Malaysia telah mencipta pelbagai jenis Aplikasi supaya mudah diakses oleh orang ramai dalam memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Pihak Kerajaan juga telah memberi peruntukan sebanyak 80juta untuk Program Bakul Makanan dimana setiap Parlimen akan mendapat sebanyak RM300 ribu untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas. Suasana ini pasti akan dikenang oleh generasi mendatang bahawa ujian itu mampu menyatukan kita semua sebagai ‘Keluarga Besar Malaysia’.
 
2. Hormat Menghormati satu sama lain
 
Sikap dan amalan ini sangat penting, kerana negara Malaysia tidak terbentuk dengan hanya satu bangsa sahaja, tetapi penubuhan Malaysia dibentuk dengan pelbagai entik, bangsa, kaum dan agama disatukan atas namaMalaysia. Oleh kerana itu sikap ini perlu diteruskan agar semua pihak tidak bermain api dan menyentuh isu sensitif yang menyebabkan berlaku peristiwa seperti 13 Mei 1969. Cukuplah peristiwa itu sebagai pengajaran kepada kita semua supaya tidak berulang kepada generasi mendatang. Cabaran generasi sekarang adalah di media sosial, semua orang mahu kebebasan menulis, tetapi kebebasan tetap ada had dan limit yang tidak boleh dilanggar. Tulislah perkara yang mendatangkan manfaat, usah berlindung disebalik ‘fake account’ dan menjadi watak penghasut dan batu api bagi mencetuskan pergaduhan demi mencapai agenda tertentu. Membina perpaduan ini sangat sukar, tetapi memusnahkannya sangat mudah.
 
3. Bantu Kerajaan Melawan Pendemik Covid-19
 
Kita akan menang bersama melawan Covid-19. Barisan hadapan (frontliner) bertungkus-lumus siang malam, pagi petang, hujan panas, ada yang sanggup meninggalkan keluarga demi tugasan kepada negara. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita juga perlu memainkan peranan dalam mambantu kerajaan melawan wabak ini, ikutilah SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan, lindungi diri dan lindungi ahli keluarga. Bantu pihak Kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), beri penjelasan dan penerangan kepada masyarakat sekitar mengenai kepentingan mengambil vaksin, bukan sibuk berkongsi berita yang tidak pasti dan meragukan kepada orang ramai, sehingga menakutkan masyarakat untuk mengambil vaksin. Ucapan tahniah juga kepada sukarelawan yang bersedia membantu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang bersedia menawarkan khidmat untuk membantu kerajaan melawan Covid-19, ini adalah contoh yang terbaik dalam membuktikan semangat Patriotik yang ada dalam jiwa bangsa Malaysia.
 
4. Kekal Tenang dan Kibarkan Jalur Gemilang
 
Kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan penuh rasa bangga apabila bendera Malaysia berkibar gagah dan lagu Negaraku bergema di Tokyo pada acara Olimpik dan Paralimpik. Tahniah kepada semua atlet yang mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia, apabila semua rakyat Malaysia duduk di hadapan skrin layar sambil memberikan sokongan pada kepada atlet Malaysia. Begitu juga Hari kemerdekaan disambut dengan penuh meriah walaupun di musim pendemik, Jalur Gemilang tetap berkibar di pagar rumah bahkan di media sosial juga. Banyak pertandingan dianjurkan untuk memeriahkan Hari kemerdekaan, pertandingan video, esei, sajak, syarahan, mewarna, poster dan pelbagai lagi mendapat sambutan yang menggalakkan dari jutaan rakyat Malaysia. Terus kibarkan Jalur Gemilang, dan tunjuk jiwa dan semangat Patriotik sayang akan negara sendiri, kalau bukan kita, siapa lagi?
 
Sesungguhnya nikmat Kemerdekaan itu adalah nikmat yang perlu di syukuri oleh kita semua, tidak semua negara di dunia ini mengecapi nikmat kemerdekaan seperti yang sedang kita kecapi, ada rakyat yang dihalau dari tanah air sendiri, ada yang masih menuntut kemerdekaan negara, ada yang sedang dijajah, ada yang hanya menjadi proksi kepada penjajah. Oleh kerana itu, nikmat kemerdekaan ini perlu dijaga dan dikekalkan untuk generasi akan datang, belajarlah dari sejarah, kerana sejarah itu sentiasa berulang, cuma watak dan waktu sahaja berbeza. Semoga negara kita berjaya keluar dari kemelut yang sedang melanda dunia, terus teguh bersama dan bersatu pada sebagai ‘Keluarga Malaysia’, kita pasti menang.

Ditulis oleh

Abdul Muhaimin Roslan
Penulis merupakan antara peserta pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

16 September 2021