JPro

PENGLIBATAN ULAMA’ DALAM PERJUANGAN KEMERDEKAAN

Kisah perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu dalam usaha membebaskan negara daripada terus dijajah bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Ia sering diceritakan kepada generasi muda, lebih-lebih lagi apabila menjelang hari ulangtahun kemerdekaan.
 
Ramai pihak yang terlibat berjuang demi kemerdekaan negara. Ini termasuklah golongan agamawan dan ulama’ yang lazimnya dirujuk sebagai penasihat kepada kesultanan Melayu. Peranan mereka amat penting terutamanya bagi membantu pengurusan hal ehwal agama, pentadbiran, politik malah dalam pengaturan strategi ketenteraan bagi mempertahankan negara.
 
Walau bagaimanapun, kisah penglibatan golongan ulama’ sepanjang tempoh perjuangan mencapai kemerdekaan itu amat jarang sekali diceritakan. Kisah mereka seakan sepi dibandingkan dengan kisah-kisah tokoh kemerdekaan lainnya.
 
Generasi baru hari ini perlu tahu bahawa golongan ulama’ juga telah memberikan sumbangan besar terhadap kejayaan negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 itu. Semangat juang mereka tidak kurang hebatnya jika mahu dibandingkan dengan pejuang kemerdekaan yang lain. Mereka telah bersama-sama berjuang menentang penjajah yang cuba merampas kedaulatan negara kita yang tercinta ini sehingga akhirnya kita mampu menikmati kebebasan yang tiada terhingga nilainya.
 
Di antara tokoh ulama’ dan agamawan yang memberi sumbangan besar dalam perjuangan mencapai kemerdekaan adalah:
 
🛑 Tuan Guru Haji Mat Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut
 

Tok Janggut

Tok Janggut dilahirkan pada tahun 1853 di Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan. Beliau digelar Tok Janggut kerana mempunyai janggut sehingga ke paras dada panjangnya. Tok Janggut bukanlah orang kampung biasa yang tidak berpengetahuan. Beliau mendapat pendidikan di sekolah pondok di Kelantan seterusnya meneruskan pengajian di Mekah. Selain mempunyai ilmu yang luas dalam bidang agama, Tok Janggut juga mahir dalam ilmu persilatan.
 
Penentangan terhadap British di Pasir Puteh semakin lantang disuarakan setelah kerajaan Turki Uthmaniyah menyeru agar umat Islam berjihad melawan penjajah Barat. Seruan tersebut telah meningkatkan sentimen anti-British di kalangan masyarakat setempat, termasuklah Tok Janggut yang tidak rela untuk tunduk patuh terhadap pencerobohan yang dilakukan oleh kumpulan penjajah. Kehadiran mereka yang menimbulkan kekacauan serta membuat aniaya kepada golongan petani melalui perlaksanaan pelbagai jenis cukai yang membebankan menambah rasa marah Tok Janggut.
 
Lantaran kelantangan suara Tok Janggut yang berpengaruh menyebabkan pihak penjajah berasa terancam. Ekoran itulah mereka berusaha untuk mematahkan suara perjuangan yang dilaungkan oleh Tok Janggut. Beliau digelar penderhaka, malah jihad menentang penjajahan yang beliau perjuangankan dianggap sebagai pemberontakan. Kemuncak penindasan penjajah membawa kepada peristiwa terkorbannya Tok Janggut di persada perjuangan. Namun semangatnya tidak pernah luntur. Ia tetap utuh subur di kalangan pengikut beliau yang masih berusaha meneruskan usaha menentang penjajahan yang dimulakan oleh Tok Janggut.
 
Selama meneruskan jihad menentang penjajah, Tok Janggut berhubung rapat dengan pejuang-pejuang Tanah Melayu yang lain seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
 
🛑 Mat Kilau bin Imam Rasu
 

Mat Kilau

Pahlawan kelahiran Kampung Masjid (ada juga penulisan yang menyebut Mat Kilau lahir di Kampung Kedondong), Pulau Tawar, Jerantut, Pahang ini merupakan anak kepada Tok Gajah yang juga seorang pejuang menentang penjajah di negeri Pahang. Beliau juga menantu kepada Imam Daud, seorang guru agama kepada Mat Kilau dan rakan-rakan. Mat Kilau bukan sahaja mahir mengaji, tetapi turut mempunyai kemahiran berzanji dan berdikir maulud. Selain itu, setelah berkahwin Mat Kilau mula mempelajari ilmu silat dan kebatinan. Mat Kilau banyak menuntut ilmu dengan ayahnya Tok Gajah. Manakala ilmu kebatinan yang berasaskan agama Islam dipelajari daripada Haji Uthman bin Senik atau dikenali sebagai Haji Montok, mufti negeri Pahang pada ketika itu.

Selain ilmu persilatan dan ilmu agama yang tinggi, Mat Kilau juga memiliki ketokohan sebagai seorang pemimpin dan berfikiran matang. Disebabkan itulah beliau sentiasa disegani serta dihormati oleh masyarakat setempat. Namun begitu, ketika Mat Kilau bekerjasama dengan Tok Janggut, Tok Gajah ayahnya dan Datuk Bahaman bagi mengekang kekuasaan penjajah Britush di bumi Pahang, kerjasama mereka tidak mendapat sokongan Sultan yang lebih mementingkan pertalian dengan British. Gabungan Mat Kilau dan pejuang lain dianggap sebagai pemberontak. Akibatnya, perjuangan mereka dikhianati oleh pihak Sultan yang menjadi sekutu British demi kepentingan darjat dan kedudukan.

🛑 Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah)

Tok Gajah

Selain nama Tok Gajah, beliau juga dikenali dengan nama Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu. Beliau adalah Orang Besar Raja Pahang dengan gelaran Orang Kaya Indera Gajah Pahang. Beliau juga merupakan penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang pada ketika itu. Tok Gajah adalah bapa kepada Mat Kilau.
 
Tok Gajah mengetuai gerakan menentang penjajah British bersama-sama dengan Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Beliau seorang pahlawan yang benar-benar berani serta gigih berjuang demi kedaulatan bangsa. Beliau sanggup berdepan dengan askar-askar British yang lengkap bersenjata, malah dengan ilmu tipu helahnya yang pelbagai, beliau bertindak menghalau penjajah British dari bumi Pahang.
 
Tok Gajah disegani oleh pengikutnya. Beliau juga ditakuti oleh pihak British kerana pengaruhnya yang kuat serta ketokohannya sehingga diangkat sebagai Orang Besar Raja yang menjadi kesayangan pihak istana.
 
🛑 Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh atau lebih dikenali sebagai Datuk Bahaman
 

Datuk Bahaman

Beliau merupakan salah seorang Orang Besar yang menentang penjajah British di negeri Pahang. Datuk Bahaman pandai bersilat dan dikatakan memiliki ilmu kebal. Disebabkan itu, beliau digelar Seman Tahan oleh masyarakat setempat.
 
Datuk Bahaman bangkit menentang penjajah British kerana rasa tidak puas hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British di kawasan mereka. Ketegangan di antara Datuk Bahaman dan pihak penjajah bermula apabila British diwakili oleh E.A Wise hendak mendirikan balai polis di Lubuk Terua tanpa berunding dengan beliau terlebih dahulu. Apabila Pemangku Residen British di Pahang, Hugh Clifford mengetahui hal tersebut, beliau memberi nasihat kepada Sultan yang seterusnya menitahkan Datuk Bahaman supaya pergi ke Pekan bagi membolehkan hal itu disiasat. Walau bagaimanapun, Datuk Bahaman enggan melaksanakan titah tersebut. Akibatnya, Sultan telah melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.
 
Perkara itu membuatkan Datuk Bahaman terkilan. Beliau bersama pengikut-pengikutnya kemudian merancang serangan ke atas C.E.M Deaborough di Sungai Semantan kerana menyangka kedatangan orang Inggeris itu adalah untuk menangkapnya. Peristiwa serang hendap tersebut berlaku pada 15 Disember 1891. Setelan peristiwa serangan di Sungai Semantan itu, pihak British mula bertindak mengatur tentera untuk melawan kebangkitan pejuang-pejuang Melayu yang dianggap sebagai pembangkang dan pemberontak.
 
🛑 Kesimpulan
 
Perjuangan tokoh-tokoh terdahulu menentang kuasa penjajahan di Tanah Melayu tidak sekadar perjuangan menuntut kemerdekaan semata-mata. Mereka berusaha memastikan tanah air yang tercinta tidak dijajah demi menjaga kedaulatan agama, bangsa dan negara. Kemaraan pendatang yang angkuh mahu merampas kuasa kepimpinan pemimpin tempatan dihadapi dengan semangat berani serta rasa cinta tidak berbelah bahagi kepada ibu pertiwi.
 
Selain rasa kecintaan dan keberanian di dada, mereka juga merupakan insan yang hebat mendalami ilmu agama. Perisai kepada kekuatan semangat perwira dalam diri dikukuhkan dengan pengetahuan yang luas tentang agama Islam. Kelebihan inilah yang menjadikan mereka faham akan keperluan meneruskan jihad menentang musuh yang datang bertandang tanpa diundang.
 
Generasi hari ini perlu diingatkan selalu tentang hakikat kekuatan yang dimiliki para ulama’ terdahulu. Kisah penglibatan para ulama’ dalam usaha memerdekakan tanah tumpah darah tercinta juga perlu disampaikan secara telus dan tulus. Generasi baru perlu tahu bahawa para agamawan bukanlah hanya menumpukan perhatian kepada kerja-kerja mengajar orang ramai tentang solat, puasa, zakat dan haji semata-mata. Tidak juga sekadar mendidik anak-anak mengenal al-Quran di surau dan masjid atau pusat-pusat pengajian. Tetapi peranan seseorang yang bergelar ulama’ adalah lebih daripada itu. Mereka adalah sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama memastikan keharmonian komuniti terpelihara.
 
Selain itu, ulama’ dan agamawan perlu memainkan peranan sebagai penyampai kebenaran tentang makna jihad dan pengorbanan yang sebenar. Ini kerana tanpa pimpinan ulama’ yang arif dalam hal ehwal berkaitan jihad, pihak tidak bertanggungjawab boleh sahaja memesongkan pemahaman generasi muda demi kepentingan peribadi mereka. Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi para ilmuwan Islam untuk bersatu mendidik ummah dengan ajaran Islam yang benar berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.
 
Tanpa penglibatan ulama’ dan para agamawan, usaha jihad mungkin terbatas. Malah semangat juang dan keberanian dalam diri anak bangsa juga mungkin mudah tergoyah, lebih-lebih lagi bila diancam dengan pelbagai dugaan. Kata dorongan, nasihat serta doa dari ulama’ menjadi salah satu sumber kekuatan bagi pemuda pewaris perwira untuk terus berusaha mempertahankan kedaulatan negara. Jika askar barisan hadapan berjuang dengan senjata dan kudrat kurniaan Tuhan, para ulama’ pula berjuang dengan meniupkan semangat melalui tunjuk ajar serta doa tidak putus kepada anak bangsa yang sedia berbakti demi negara. Mereka juga sebahagian daripada kelompok pejuang yang berdiri di baris hadapan. Bersedia bersama doa dan sumpah setia, taat berbakti kepada negara.
 

Ditulis oleh

Muhammad Yusra Bin Mohd Yusof
Universiti Al-Azhar Mesir
Penulis merupakan antara peserta pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #IniBenderaKita.

20 September 2021