JPro

PERJUANGAN YANG WALAU SETITIK, NAMUN LANGIT DAN BUMI ADA DI DALAM

Buat kisahku, aku mengharapkan dunia mengetahuinya, bukan untuk mengukir nama tetapi untuk membuktikkan bahawasanya kalian tidak keseorangan. Setiap kali daku membuka mulut, pasti semua akan menganggap kisah perjuangan ini biasa namun aku tetap dengan pendirianku bahawa ia merupakan kisah yang bukan calang-calang jiwa mampu menanggungnya. Perlukah aku membuka pekung di dada?
 
Sedari kecil, emosiku, fizikalku dan jiwaku didera. Keadaan keluarga yang punah dalam keadaan tiada tempat untuk mengadu selain Kekasihku, Allah ‘Azza wa Jalla. Segala air mata dan parut masih lagi kumampu selindunginya namun memori tetap akan berkekalan. Ceritaku terlalu berbeza untuk dicoretkan, pahit yang tak mampu untuk ditulis. Bagaimanakah aku mampu memberontak dan lari jika punca utama kemalaratan ini wujudnya dari institusi yang sewajarnya memberikan kekuatan, belaian dan kasih? Perpisahan antara ibu dan ayah memberikan tekanan emosi yang maha hebat buat jiwa aku.
 
Apabila umur sudah meningkat dewasa, Allah melanjutkan pelajaranku di Univeristi Islam Antarabangsa. 2 tahun pertama di sana, aku tidak mempunyai laptop, maka aku terpaksa duduk setiap malam di makmal komputer setiap kelas petang selesai bagi memenuhi tanggungjawabku sebagai penuntut ilmu. Usai sahaja, aku akan mengambil dua buah bas untuk tiba di rumah pada waktu menjaga ayah yang sakit teruk ekoran paru-paru berair. Ada kalanya, hati ayah teringin untuk keluar mengambil angin, maka aku akan memenuhi hasratnya dengan membawa berjalan dengan kerusi roda. Badan ayah terlalu besar ketika itu kerana penuh dengan air. Semua mata terpana melihatku yang sehabis boleh menolak ayah.
 
Kemuncak cabaran hidupku apabila aku menerima perkhabaran yang ayah jatuh bilik air sewaktu mengambil wudhu’. Aku amat sedih kerana ketika itu aku sudah menetap di kampus. Ya Rabb, melihat darah yang keluar dari hidung, mulut dan siku ayah hanya pada sekeping gambar di telefon bimbit cukup untuk melemahkan seluruh jiwaku. Ayah bertarung selama 7 tahun dan akhirnya beliau meninggalkan aku dan keluarga yang dikasihi, sebelum peperiksaan akhirku bermula berkebetulan semua subjek yang diambil terlalu susah. Jika aku gagal pertahankan CGPA aku, biasiswa bakal ditarik semula. Berbekalkan kepercayaan yang mutlak pada Maha Penyayang dan kasih hormatku pada arwah ayah, aku lawan bak pejuang. Satu ayat al-Qur’an daripada Surah Baqarah, ayat 216 yang tertulis, “…dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” telah menjadi penawar yang agung untuk aku kekal pada jalan perjuangan ini.
 
Dalam keadaan aku mengeluh nasibku pada Rabbul Jalil, aku sentiasa alpa bahawa Dia itu Allah. Raja bagi segala raja. Empunya segala simpati dan sayang yang wujud di dunia ini. Mana mungkin Kekasih akan membiarkan hamba-Nya. Tak masuk dek akal. Ibarat mimpi, aku dikejutkan dengan pencapaian yang tertinggi dalam hidupku. Atas izin Ar-Rahman dan Ar-Rahim, aku dipilih untuk mewakili pelajar universiti untuk menyampaikan “valedictory speech” selain dianugerahkan dengan “Best Student Academic Award’. Bagi 11 buah fakulti, aku mengharumkan Fakulti Sains Politik dengan menjadi yang nombor satu. Adakah ini bahasa kasih dan cinta daripada Yang Satu? Jika benar, aku menyahutnya dengan sujud syukur yang lama kerana di situlah aku akan mencapai kemuncak kebahagiaan yang hakiki.
 
Walau ketika ini aku masih belum punya kerjaya yang tetap dan kukuh untuk dikaitkan dengan semangat kemerdekaan apa lagi menyumbang buat negara, tetapi jelas perjuangan yang kulalui ini sebagai anak dan pelajar memberikan sumbangan yang besar buat negara dengan jalan harapan dan kesabaran. Dalam keadaan yang perit, aku bersemangat untuk tunaikan tugasku sebagai anak ayah dan pelajar selari dengan kehendak Tuhan. Dan aku yakin, dengan harapan dan kesabaranlah, Tanah Melayu bebas. Setiap kali, negara menyambut kemerdekaan, air mata pasti mengalir mendengar suara Tunku Abdul Rahman. Perkara yang terlintas di minda aku hanyalah, para pejuang yang diseksa emosi dan fizikal tetapi kita anak muda? Buka mata sahaja sudah merasai segala nikmat. Hatta jasad ayah sudah tiada tetapi ayah telah meninggalkan satu pesanan yang jauh lebih berharga daripada apa-apa pun yang ada di dunia ini;
 
“Jagalah negara. Jangan sampai dimakan oleh musuh ibarat anai-anai yang perlahan-lahan merayap, memakan dan meruntuhkan struktur bangsa dan negara”.
 
Jika kalian bertanyakan padaku, apakah yang aku terlalu inginkan dalam hidup? Aku akan menjawab, hati ini selalu pinta dan harap agar Dia menghimpunkan aku bersama umat Nabi Muhammad saw di Syurga Firdaus bersama para anbiya’ dan para pejuang yang telah mengorbankan darah mereka untuk jalan Allah. Aku ingin peluk mereka. Itu sahaja, tiada yang lain. Ingatlah, sekecil-kecil perkara, perlukan perjuangan apa lagi untuk mencapai 31 Ogos 1957.

Ditulis oleh

Puteri Mariam Diana Binti Ahmad Mosadik
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

8 September 2022