JPro

PRN-15: GOLONGAN ANAK MUDA DIBERI TUMPUAN DALAM MANIFESTO PAS TERENGGANU

1. Setelah berjaya menunaikan kesemua 20 janji seperti dalam Manifesto PRU-14, PAS Terengganu kini menawarkan 10 lagi manifesto baru sebagai bukti kesungguhan untuk memberikan khidmat dan manfaat yang terbaik kepada seluruh rakyat di Terengganu.
 
2. Dengan komitmen untuk meneruskan lagi 20 manifesto lama pada penggal terbaru nanti, PAS Terengganu pada kali ini memberikan fokus kepada golongan belia dan anak muda selain turut menawarkan khidmat terbaru kepada golongan petani, penternak dan nelayan serta tidak mengabaikan semua golongan selebihnya.
 
3. Menyedari keperluan mempunyai motosikal sebagai medium pengangkutan, pergerakan dan mencari sumber rezeki kepada golongan anak muda, PAS Terengganu menawarkan kemudahan pinjaman Qardhul Hasan (tanpa riba) sehingga RM4,000 untuk pembelian motosikal bagi kumpulan ini.
 
4. Kemudahan seperti ini adalah sebagai pemudahcara terutama kepada golongan belia untuk melibatkan diri dalam perkhidmatan e-hailing yang semakin meningkat penggunaannya pada ketika ini di samping menjana pendapatan samada sebagai sumber utama mahupun sampingan tambahan.
 
5. Tawaran ini meletakkan sasaran sehingga 1,600 anak muda di Terengganu dan dianggarkan menelan belanja sehingga RM6.4 juta setahun. Tawaran ini juga adalah kesinambungan daripada manifesto penggal lalu iaitu pemberian RM300 kepada anak muda untuk mengambil lesen motosikal di mana ia telah memanfaatkan sehingga 5,455 anak muda di seluruh Negeri Terengganu.
 
6. Selain itu, PAS Terengganu turut meraikan kepelbagaian bakat dan potensi anak muda yang lebih berminat menceburi bidang perniagaan terutama secara atas talian melalui pelbagai medium seperti tiktok, instagram dan youtube dengan menyediakan Tabung Geran Usahawan Belia sebanyak RM5 juta setahun.
 
7. Tawaran ini meletakkan sasaran sehingga 1,000 orang anak muda setahun yang ingin menceburi bidang perniagaan dan memerlukan modal permulaan antara RM3,000 sehingga RM5,000 setahun. Ia juga adalah kesinambungan daripada manifesto lalu yang telah membantu sehingga 3,000 usahawan daripada pelbagai latar belakang melalui Tabung Usahawan (TUGAS).
 
8. Dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan anak muda di negeri ini, PAS Terengganu menawarkan pelbagai insentif kepada peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan melalui penubuhan cawangan baru. Insentif ini diibaratkan sebagai ‘serampang dua mata’ apabila turut memberikan peluang kepada usahawan Terengganu di perantauan untuk menyumbang kembali kepada negeri tercinta.
 
9. PAS Terengganu meyakini bahawa anak muda di negeri ini sangat bijak membuat pilihan antaranya dengan membuat penilaian tepat melalui janji manifesto yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding di PRN pada kali ini selain prestasi yang pernah ditunjukkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri yang lalu.
 
10. Justeru, PAS Terengganu menggalakkan agar semua anak muda samada yang berada di perantauan mahupun yang tinggal di dalam negeri dapat memberikan sokongan melalui undi yang akan diberikan kepada PAS pada 12 Ogos nanti. Insya-Allah.

Ditulis oleh

Asyraf bin Salleh
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis mempunyai Ijazah Sarjana di dalam bidang Ekonomi dan merupakan seorang pegawai penyelidik yang berkhidmat di Terengganu Darul Iman.

10 Ogos 2023