JPro

PROFESION PERGURUAN MENYUNTIK SEMANGAT MERDEKA

Malaysia, tanah tumpah darahku. Sebuah negara berdaulat yang kaya dengan kepelbagaian makanan, budaya, adat resam dari seluruh pelosok negeri dan bermacam-macam lagi yang mampu menggamit memori terindah untuk semua rakyatnya. Tidak kurang juga, keunikan utama yang seringkali menjadi tatapan dan bualan hangat dunia iaitu diversity kaum yang wujud di negara ini. Keunikan-keunikan sebeginilah yang berupaya untuk mengangkat martabat Malaysia dari semasa ke semasa agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi setanding negara-negara pesat membangun yang lain. Namun begitu, kedaulatan dan kemakmuran yang kencang diperkatakan kini tidak dapat dikecapi tanpa wujudnya sokongan yang padu daripada semua rakyat, dari pelbagai lapisan umur serta tanpa mengira perbezaan warna kulit bagi menonjolkan semangat patriotik yang utuh dalam diri masing-masing.
 
Sikap etnosentrik yang menebal dalam diri haruslah ditegah sejak awal lagi dalam usaha untuk memastikan gagasan Keluarga Malaysia yang rancang dicanang kini dapat direalisasikan dengan jayanya. Setelah 65 tahun negara memperoleh kemerdekaan, sudah merdeka sepenuhnyakah jiwa rakyat negara ini? Atau masih dibuai lena dengan dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh pihak British dahulu sehingga menimbulkan jurang perbezaan antara kaum sehingga ke hari ini? Tepuk dada tanya selera. Sejauh manakah karier dan pengorbanan kita menyumbang dalam mengekalkan kemerdekaan yang diperoleh hasil titik peluh perjuangan tokoh-tokoh tempatan suatu ketika dahulu?
 
Lantaran itu, pokok pangkal yang banyak menyumbang kepada kedamaian dan pembangunan negara banyak bermula daripada pendidikan. Pendidikan menyatu padukan masyarakat yang datang daripada latar belakang yang berbeza-beza serta menjadi akar yang berupaya menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan masayarakat negara ini. Pemikiran masyarakat kini banyak menganggap bahawa pendidikan hanya tertumpu di sekolah-sekolah mahupun bangunan-bangunan rasmi pendidikan sahaja. Sedangkan, konteks pendidikan ini amat meluas dan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Hussin Sarju et al. (n.d) dalam kajiannya menyatakan bahawa proses pendidikan ini berupaya membantu golongan manusia untuk membangunkan semua potensi yang ada merangkumi potensi akal, jasmani / tingkah laku serta rohani. Adab dan akhlak juga merupakan suatu bentuk pendidikan yang seharusnya dipelajari oleh semua pihak.
 
Contohnya begini, individu yang kurang berpendidikan akan tidak berupaya untuk membentuk tingkah laku misalnya dengan mudah memuat naik sebarang siaran yang menyentuh tentang sensitiviti kaum yang secara langsung akan mendorong kepada timbulnya isu perkauman. Tambahan pula, lambakan penggunaan media sosial kini yang boleh diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan akan menyebabkan suatu siaran tersebut tersebar dengan pantas. Berbeza pula dengan individu yang berpendidikan. Golongan ini akan lebih cenderung untuk berfikir ke hadapan tentang kesan yang akan timbul melalui sesuatu siaran yang dilakukan dan lebih berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar tiada satu pun jiwa yang terluka. Ini kerana, isu perkauman merupakan suatu isu yang besar dan boleh menjejas keharmonian negara sekaligus menggugat erti kemerdekaan yang sebenar. Malah, tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang individu lelaki bertindak melakukan perbuatan vandalisme dengan menggunting bendera Jalur Gemilang yang dikibar bersempena dengan bulan kebangsaan. Perbuatan ini jelas menunjukkan kurangnya pendidikan sivik dan semangat cinta akan negara dalam diri. Justeru, tidak dapat disangkal lagi bahawa pendidikan sememangnya memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada kedaulatan kemerdekaan negara.
 
Umum mengetahui bahawa profesion perguruan sememangnya sinonim dengan bidang pendidikan. Guru merupakan agen yang bertindak sebagai penggerak utama dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada semua lapisan masyarakat amnya dan kepada murid-murid khususnya. Justeru, secara tidak langsung, guru turut menggalas tanggungjawab dalam menyemai serta menerapkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan murid-murid sejak di bangku sekolah lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Murid diibaratkan seperti kain putih, gurulah yang menjadi antara pencorak yang memainkan peranan untuk mencorakkan kain tersebut dengan sebaiknya. Tanggungjawab ini merupakan suatu sumbangan besar oleh para guru dalam menabur bakti kepada negara Malaysia yang tercinta. Malah, jika ditelusuri dengan mendalam, profesion perguruan ini merupakan antara profesion yang banyak menyumbang ke arah pembangunan negara.
 
Jika dilihat hari ini, seorang doktor, seorang peguam, seorang pekerja pembersihan dan sebagainya bahkan seorang Perdana Menteri itu sendiri banyak menimba ilmu daripada seorang insan yang bergelar guru. Guru banyak melahirkan dan membentuk kemenjadian murid yang membesar dan menjadi seseorang yang menyumbang kepada negara merangkumi semua aspek termasuklah politik, ekonomi serta sosial. Hal ini cukup untuk membuktikan mendalamnya semangat cinta akan negara dalam diri seseorang guru.
 
Kepayahan dan penat lelah dalam mendidik anak bangsa diketepikan hanya untuk mencapai satu tekad utama, iaitu melahirkan masyarakat negara yang berilmu pengetahuan dan berupaya bersama-sama membangunkan negara mengikut arus pemodenan zaman. Dada-dada akhbar tidak pernah lekang daripada melaporkan tentang kesukaran-kesukaran guru dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Memetik satu laporan Berita Harian Online bertajuk “Guru cekal redah arus sungai demi anak murid” menggambarkan realiti saban hari yang perlu ditempoh oleh seorang guru bagi meningkatkan pendidikan negara sekaligus merealisasikan aspirasi-aspirasi yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tidak cukup dengan itu, seorang guru juga turut memerah keringat menyertai program-program yang dianjurkan oleh penduduk setempat. Selain berupaya untuk meningkatkan hubungan guru dengan masyarakat, secara tidak langsung guru dapat berkongsi pengetahuan bermanfaat yang boleh diaplikasikan oleh masyarakat dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, guru dapat berkongsi berkenaan dengan adab berjiran, terutamanya bagi mereka yang berbeza agama dan bangsa namun tinggal dalam satu kawasan.
 
Perkara sebegini mungkin dianggap remeh, namun meninggalkan impak yang mendalam terhadap kehidupan bermasyarakat untuk mengelakkan pisang berbuah dua kali di mana tragedi 13 Mei 1969 yang pernah melanda negara ini. Usaha-usaha ini sememangnya tidak termaktub dalam bidang kerja seorang guru, namun dek kerana keazaman yang tinggi dalam menyumbang ke arah kesejahteraan negara, mereka gagahkan jua. Justeru, tidak terkira jasa dan pengorbanan seorang guru dalam membanting tulang bagi mencurahkan sepenuh bakti dalam usaha untuk menunjukkan semangat cinta akan negara.
 
Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa profesion perguruan merupakan antara profesion yang jelas dilihat dalam menumpahkan taat setia kepada negara. Oleh yang demikian, tidak kira dalam bidang apa sekalipun anda berada sekarang, ayuhlah bersama-sama mengorak langkah meningkatkan tahap kecemerlangan negara demi kesejahteraan anak bangsa. Ayuh luangkan sedikit masa untuk menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini demi menumpukan semangat cinta akan negara. Bersama-sama kita #TeguhMembinaNegara.
 
Rujukan
Hazira Ahmad Zaidi. (2022, 21 Julai). Guru cekal redah arus sungai demi anak murid. Berita
Hussin Sarju, Rohana Hamzah & Amirmuddin Udin. (2010). Pendidikan : Matlamat dan Fungsinya. Universiti Teknologi Malaysia.
 

Ditulis oleh

Nur Aini Natasha Binti Husof @ Azman
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

12 September 2022