JPro

PROFESION TERBAIK DUNIA

Doktor? Arkitek? Jurutera? Juruterbang? Peguam? Dari kecil ke besar kita dimomokkan doktrin-doktrin sebegini. Jika begitu bagaimana pula profesion Rasulullah S.A.W dan para anbiya’?

Baru saya sedar, bukanlah profesion terbaik itu berhenti sekadar di persimpangan dunia. Ramai dari profesional perjuangannya terhenti sekadar di sini. Degree, Master, PhD. Tanpa kita sedari sebenarnya “mengejar dunia sahaja adalah profesion tahap rendah”.

Teringat guru saya Brother Firdaus Wong berkata, “Profesion terbaik dunia adalah menjadi seorang ‘Da’ei’ (Pendakwah)”. Bukan bermakna kita perlu menukar bidang dan juga bukan hanya tugas agamawan melakukan dakwah. Dakwah itu luas, dalam pelbagai bidang (profesion) dan pelbagai lapangan. Dan setiap bidang profesion ada dakwahnya, ada peranannya; merupakan ‘fardu kifayah’ yang mewajibkan keterlibatan ummah ini secara ‘syumul’ (menyeluruh& lengkap) di setiap lapangan. Adalah sesuatu yang sempit jika kita hanya mengejar akhirat tanpa ada kemampuan yang besar memperjuangkannya.

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (HR. Ahmad, ath-Thabrani, ad-Daruqutni)*

 

Seorang mukmin yang hebat bukanlah yang meningalkan dunia dan bukan pula hanya mengejar dunia. Tetapi kejayaan Rasulullah S.A.W dan para sahabat adalah dengan meletakkan dunia hanya di tangan, dan hanya ALLAH S.W.T semata-mata dihati. Seorang mukmin yang sedar akan juga berkata,

“Dunia hanya sebagai wasilah (cara) untuk matlamat yang hakiki Akhirat”.

 

Bukanlah profesion terbaik bila kita sekadar mendapat ijazah dan PhD. Tetapi apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Wahai sahabat-sahabat, marilah kita bersama-sama mengangkat agama ini dengan dengan kepakaran kita. Agar kita mampu mendongak menghadap dunia. Menjadikan profesion kita terbaik dunia! Bilamana hari itu tangan kita mengengam dunia, hati kita didalam gengaman Illahi.

Firman Allah S.W.T:
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang solih dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”. (Fushilat:33)

“Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna, dan mereka, di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia, dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan”. (Hud:15-16)

 

 

Sumber:

*Hadith hasan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no:3289.

 

Ditulis oleh

Fadhil Azri
Kluster Alam Bina
Jabatan Profesional Muda, DPPM

Penulis adalah arkitek di sebuah organisasi antarabangsa dan merupakan sukarelawan pendakwah perbandingan agama gerakan dakwah jalanan Malaysia.
 

3 April 2020