JPro

RASUAH, PENGUNDI MUDA & DR SAM ; ANALISIS KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DALAM PETISYEN PILIHAN RAYA MARANG


1. Mahkamah Persekutuan pada 15 November 2023 yang lepas telah memutuskan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang. Keputusan sebulat suara itu ditetapkan panel tiga hakim, selepas menolak rayuan bekas calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, yang mendakwa TGHH telah menyogok pengundi.

2. Dalam keputusan penghakiman kes ini, Mahkamah memutuskan bahawa calon UMNO selaku perayu gagal membuktikan wujudnya rasuah melampaui keraguan munasabah. Mahkamah turut menyifatkan pengundi muda pada PRU-15 yang lepas sebagai celik politik, justeru dakwaan mengenai bantuan yang diberikan dalam program kerajaan negeri telah mempengaruhi undi mereka sebagai dangkal dan cetek.

3. Oleh itu, pengundi muda dalam PRK Kemaman kali ini wajib turun dan memberikan mesej yang lebih kuat dan jelas kepada UMNO bahawa anak muda menolak politik yang memanipulasi proses undang-undang dengan tujuan menjatuhkan pihak lawan, walhal UMNO turut melakukan hal yang serupa, bahkan lebih teruk, ketika berkempen dalam siri-siri PRK sebelum ini.

4. Dari satu sudut yang lain, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri (Dr Sam) telah melakukan langkah berhati-hati sepanjang tempoh berkempen untuk menjaga integriti beliau sebagai calon yang turut memegang jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu bagi mengelakkan sebarang tohmahan dalam PRK kali ini.

5. Analisis lanjut mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Petisyen Pilihan Raya Marang ini adalah seperti berikut :-

UMNO GAGAL KEMUKA BUKTI CALON PAS BERI RASUAH

6. Dalam kes Petisyen Kuala Terengganu dan Kemaman, Mahkamah Tinggi akui calon PAS tidak terlibat dalam apa-apa perbuatan rasuah. Bahkan, kedua-dua Mahkamah dalam Petisyen Kuala Terengganu dan Kemaman tidak melaporkan mana-mana individu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sekiranya Hakim yakin calon PAS melakukan perbuatan rasuah, pastinya Hakim akan terus melaporkannya pada SPRM, seterusnya calon akan didakwa, dan dihalang oleh mahkamah untuk bertanding semula. Namun begitu, semua situasi ini tidak berlaku. Hal ini kerana Mahkamah mengakui bantuan ini adalah bantuan menggunakan wang kerajaan negeri dan kepada rakyat negeri.

7. Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Kuala Terengganu dan Kemaman hanya memutuskan bahawa pemberian bantuan melalui program i-Belia dan i-Siswa dipercayai mempunyai unsur rasuah kerana disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri yang dianggap bertindak sebagai ejen kepada calon dan diberikan pada masa yang dekat dengan pilihan raya.

8. Sebaliknya, Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Marang memutuskan bahawa bantuan tersebut bukan rasuah kerana ia dibuat mengikut prosedur Kerajaan Negeri yang betul, yang dirancang dan diluluskan sebelum tarikh Parlimen dibubarkan. Mahkamah Persekutuan telah MENGESAHKAN keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Marang bahawa program bantuan kerajaan yang telah dirancang setahun awal tersebut tiada unsur rasuah, sekaligus mengetepikan secara prinsipnya keputusan Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Kuala Terengganu dan Kemaman.

9. Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Marang telah juga menyatakan bahawa :
“Prinsip ejen mestilah dibuktikan dengan beban bukti yang tinggi iaitu mesti mempunyai elemen perlantikan sama ada secara langsung atau melalui keterangan sokongan”

10. Bantuan yang berlaku di Negeri Terengganu pada PRU-15 adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh PH-BN. Hal ini kerana bantuan ini dibuat setahun sebelum pilihanraya dan tanpa disertakan apa-apa syarat.

11. Berbeza dengan PH-BN, ia boleh dilihat melalui majlis-majlis penyerahan bantuan yang dibuat atau dihadiri oleh ahli politik atas kapasiti Ahli Dewan Undangan Negeri atau Menteri ketika tempoh PRK Parlimen Kuala Terengganu dan PRK DUN Pelangai sebelum ini. Lebih dahsyat, ada Menteri yang secara terbuka mengumumkan peruntukan dengan syarat pengundi dalam program bantuan tersebut mestilah mengundi parti tertentu.

12. UMNO juga gagal membawa saksi untuk memberi keterangan bahawa pengundi muda dalam program tersebut mengundi PAS kerana menerima bantuan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen dengan menggunakan alasan rasuah, tetapi apabila masuk peringkat perbicaraan di mahkamah, ternyata mereka gagal membuktikan fakta dan dakwaan yang telah dibuat.

MAHKAMAH IKTIRAF KEMATANGAN PILIHAN PENGUNDI MUDA

13. Paling menarik dalam kes ini adalah, apabila Hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan tersebut, Mahkamah Persekutuan mengesahkan secara tidak langsung penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi, yang menyifatkan dakwaan yang mengatakan bahawa pengundi-pengundi berdaftar di Marang mengundi calon PAS kerana terpengaruh kepada bantuan i-Siswa dan i-Belia, antaranya, sebagai suatu alasan yang sangat dangkal dan cetek seolah-olah mengecilkan dan memperlekehkan kesedaran politik pengundi yang diterjemahkan melalui keputusan PRU-15. Mahkamah turut menegaskan bahawa kemenangan calon PAS dengan majoriti yang besar adalah suatu mandat rakyat yang perlu diiktiraf dan dihormati oleh semua pihak.

14. Mahkamah Tinggi sebelum ini juga mengambil maklum bahawa pengundi muda dapat menilai sendiri isu-isu yang berlaku melalui media sosial yang menjadi platform menyebarkan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan yang memerintah sehingga berlakunya tsunami politik yang terjadi kesan daripada kesedaran pengundi-pengundi yang telah bijak untuk memilih.

15. Bagi pengundi-pengundi muda ini, bantuan-bantuan kerajaan secara mutlak tidak lagi boleh meraih, membeli dan memancing undi kerana mereka sedar bantuan-bantuan yang diberikan adalah satu tanggungjawab sosial yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan memerintah bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

16. Dalam konteks ini, Mahkamah Tinggi dalam Petisyen Marang juga merujuk kepada keputusan PRU-14 di mana BRIM tidak sepenuhnya mempengaruhi kebebasan dan hak mengundi. Atas sebab yang sama, parti dan calon yang dilihat banyak memberi sumbangan dalam bentuk bantuan kewangan, pembangunan dan kemudahan sosial pun tetap gagal untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya.

UMNO ENGGAN FAHAM KEPUTUSAN PETISYEN TIDAK BERI KESAN KEPADA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA

17. Dalam Petisyen Marang, Mahkamah telah mengenal pasti 6,286 orang pengundi muda yang telah menerima bantuan melalui empat majlis penyerahan bantuan yang berbeza. Pada masa yang sama, PAS telah menang dengan undi paling banyak iaitu sejumlah 73,115 undi, dengan majoriti sebanyak 48,377.

18. Melihat kepada perbezaan angka tersebut, Mahkamah telah memutuskan bahawa pemberian bantuan itu tidak ada “substantial effect” pun kepada keputusan pilihanraya kerana majoriti yang dimenangi oleh PAS bukanlah 97 undi atau 163 undi atau 6,286 undi tetapi margin majoriti undi terlalu besar untuk dipengaruhi.

19. Bahkan, sekiranya undi ketiga-tiga buah parti lain yang bertanding disatukan sekali pun, masih tidak mampu mengatasi keseluruhan undi yang diperoleh PAS. Hal ini membuktikan, sekiranya 6,286 pengundi muda itu semuanya tidak mengundi PAS kerana tidak mendapat bantuan melalui program itu sekalipun, ia tidak akan menjejaskan sedikitpun keputusan pilihan raya. Perkara ini turut dibuktikan secara jelas melalui majoriti undi yang meningkat dengan jauh lebih besar melalui PRK Kuala Terengganu.

20. Telah menjadi satu prinsip matan dalam undang-undang pilihan raya bahawa sesuatu perbuatan itu bukan sahaja menjadi salah satu daripada kesalahan pilihan raya, tetapi tindakan itu juga mesti dibuktikan bahawa ia akan menjejaskan keputusan pilihan raya.

KESIMPULAN

21. Pengundi muda perlu sedar bahawa UMNO telah memanipulasi proses perundangan semata-mata untuk melakukan langkah politik, dan hal ini merupakan suatu bentuk perbuatan mempermainkan undang-undang (mockery of law) dan membazirkan duit pembayar cukai untuk menanggung kos perbicaraan. Hal ini kerana UMNO sendiri telah melakukan perkara yang mereka cuba buktikan sebagai kesalahan rasuah pilihan raya di Mahkamah dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.

22. Namun begitu, Dr Sam, sebagai calon pilihan raya kecil Kemaman kali ini telah berjiwa besar mengelakkan sebarang perkara yang boleh dijadikan isu oleh pihak-pihak yang bertanding, walaupun dalam perkara yang dibenarkan oleh undang-undang. Dr Sam misalnya, telah membuat ketetapan bahawa imbuhan buat penjawat awam negeri hanya akan diumum selepas PRK Kemaman, walaupun beliau boleh mengumumkan hal tersebut ketika sidang DUN yang kebetulan berlaku ketika tempoh berkempen. Bukan itu sahaja, Dr Sam sedaya upaya mengelak daripada berkempen di jamuan dan tempat makan.

23. Pengundi muda Kemaman, jangan biarkan undi kalian dibazirkan dengan perbuatan sia-sia UMNO membawa kes demi kes pilihan raya ke Mahkamah. Turun undi esok dan lawan perlekehan yang mereka lakukan atas keupayaan kita untuk berfikir dan menilai siapakah calon terbaik untuk mewakili suara pengundi muda di Parlimen.

Ditulis oleh

Muna Rime
Kluster Undang-undang
Jabatan Profesional Muda, DPPM

1 Disember 2023