JPro

REALITI PROFESION GUAMAN SYARIE MENDEPANI PERSEPSI MASYARAKAT

PENGENALAN

Profesion guaman syarie tumbuh bagai cendawan selepas hujan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semakin ramai graduan syariah sama ada dari dalam mahupun luar negara yang berani terjun ke dunia guaman syarie. Antara faktor mendorong kepada peningkatan ini adalah program j-Qaf yang telah dihentikan pengambilan baharu menyebabkan graduan-graduan pengajian Islam mengambil peluang untuk menceburi bidang guaman syarie.

Namun, profesion guaman syarie ini tidak ketinggalan terpalit dengan pelbagai isu sehingga menjadi tajuk perbincangan yang hangat dalam kalangan masyarakat. Realiti profesion guaman syarie tidak seindah seperti yang ada pada profesion guaman sivil.

Kepincangan sistem, ketidakseragaman undang-undang syariah dan kebajikan pemain profesion ini juga ini antara faktor yang dikenalpasti dan akan dihuraikan melalui penulisan artikel ini. Justeru, artikel ini akan membedah realiti dan persepsi masyarakat terhadap profesion guaman syarie di Malaysia,

PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG MENGENAI GUAMAN SYARIE

Menurut Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008, peguam syarie diertikan seseorang yang telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie di Mahkamah Tinggi Syariah dan didaftarkan di bawah kaedah-kaedah ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain sebelum Kaedah ini berkuat kuasa.

Profesion guaman syarie terletak di bawah kuasa yang diperuntukkan di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Enakmen Mahkamah Syariah. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri memperuntukkan kuasa kepada Majlis untuk membuat peraturan bagi tatacara, kelayakan dan fi bagi penerimaan masuk Peguam Syarie dan bagi mengawal selia, mengawal dan menyelia kelakuan Peguam Syarie.

Apa-apa penggubalan undang-undang mengenai guaman syarie adalah hak eksklusif badan perundangan negeri sepertimana diperuntukkan melalui Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan hanya boleh menggubal undang-undang mengenai hukum syarak termasuklah guaman syarie bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja selari dengan peruntukan Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

REALITI PROFESION GUAMAN SYARIE

Pada hakikatnya, realiti yang terpaksa dihadapi oleh pemain profesion guaman syarie terlalu banyak. Namun, artikel ini penulis hanya memfokuskan perbincangan sepertimana berikut :

1. Ketidakseragaman Undang-Undang Syariah

Ketidakseragaman undang-undang seringkali menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat. Berbeza dengan undang-undang sivil, Majlis Peguam Malaysia berfungsi sebagai badan yang menaungi dan melindungi profesion undang-undang sivil.

Sebaliknya, bagi pengamal undang-undang syariah, sehingga ke hari ini penubuhan Majlis Guaman Syarie masih samar-samar walaupun Rang Undang-undang Akta Profesion Guaman Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan 2019 telah diluluskan di Parlimen. Implikasi selagimana Majlis Guaman Syarie ini tidak ditubuhkan, nasib pemain profesion guaman syarie tidak diletakkan pada tempatnya. Pemain profesion guaman syarie ini termasuklah pelatih dalam kamar syariah.

Menurut M. Mageswari (2012) kesan kepada ketidakseragaman undang-undang syariah ini boleh dilihat di dalam kes Muhamad Burok lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di mana Pemohon telah membuat permohonan mengetepikan keputusan penggantungan selama 6 bulan daripada beramal sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan keputusan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut dan mengarahkan Responden membayar kos kepada Pemohon.

Melalui kes ini, jelas menunjukkan bahawa masih terdapat kekaburan dek ketidakseragaman undang-undang berkaitan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie. Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah melangkaui kuasa sedia ada yang diperuntukan undang-undang dan seterusnya mengakibatkan kesan negatif dalam urusan tadbir peguam syarie di Malaysia.

Oleh hal yang demikian, Akta Profesion Guaman Syarie perlu disegerakan perlaksanaan ke seluruh negara agar nasib pemain profesion guaman syarie ini dapat dibela oleh pihak yang sepatutnya.

2. Masyarakat Tidak Memerlukan Peguam Syarie

Dunia serba canggih ini membolehkan masyarakat boleh mendapatkan maklumat hanya dihujung jari. Hal ini termasuklah dalam urusan kes-kes di Mahkamah Syariah. Menurut kenyataan yang ditulis oleh Presiden Guaman Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang, beliau menyatakan bahawa proses pendaftaran poligami di luar negara semakin mudah tanpa perlukan khidmat peguam syarie. Fenomena ini jelas membimbangkan kerana ejen-ejen pernikahan sindiket semakin berleluasa tanpa penguatkuasaan yang ketat.

Walaupun pernikahan sindiket ini diklasifikasikan sebagai jenayah syariah, namun demikian hukuman yang dikenakan tidak menggerunkan pelaku-pelaku jenayah syariah ini. Malah, ada yang berani mengulangi kesalahan yang sama berulang-kali kerana sedar hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah tidak memberi kesan yang signifikan kepada mereka.

Oleh hal yang demikian, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1995 perlu dilaksanakan segera agar peguam syarie dapat memainkan peranan mendaulatkan undang-undang syariah di tanahair. Selagimana tidak dipinda undang-undang ini, masyarakat akan memandang enteng kepada Mahkamah Syariah sekaligus peranan peguam syarie juga diketepikan.

3. Kebajikan Pelatih Dalam Kamar Syariah

Sebelum seseorang boleh beramal sebagai peguam syarie, mereka hendaklah melalui proses yang dikenali sebagai latihan dalam kamar Syariah. Sepertimana amalan di dalam dunia guaman sivil, sesetengah negeri mewajibkan seseorang untuk menjalani latihan dalam kamar dalam tempoh enam sehingga Sembilan bulan.

Hal ini boleh dilihat melalui Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008 di mana penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di bawah subperenggan (1)(e)(i) hendaklah tertakluk kepada syarat antaranya telah tamat latihan dalam kamar selama sembilan bulan di mana-mana firma guaman syarie. Pelatih dalam kamar syariah seringkali menjadi mangsa kerana status mereka yang hanya seorang pelatih. Tidak diberi kebajikan daripada sudut caruman KWSP mahupun SOCSO yang mendatangkan risiko.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, boleh disimpulkan bahawa realiti yang terpaksa dihadapi oleh profesion guaman syarie adalah berbeza dengan persepsi yang dilihat oleh masyarakat. Segelintir masyarakat mempersoalkan mengapa hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah terlalu rendah. Sedangkan realitinya, untuk meminda sesuatu undang-undang memerlukan kuasa Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Untuk meminda sesuatu undang-undang bukanlah usaha setakat sehari dua, tapi memerlukan usahasama dan kefahaman yang jitu terhadap undang-undang syariah.

Selain itu, masyarakat juga tidak memerlukan khimat peguam syarie dalam sesetengah kes di Mahkamah Syariah. Kesannya, peningkatan kes-kes di Mahkamah Syariah direkodkan sedangkan penguatkuasaan yang longgar ini menjadi kunci utama kepada peningkatan kes Mahkamah Syariah. Oleh hal yang demikian, harapan penulis agar Parti Islam Semalaysia (PAS) yang kini telah menjadi sebahagian kerajaan, menjadi suara membela nasib profesion guaman syarie bagi memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia.

 

RUJUKAN

1. Syarie lawyer can challenge his suspension order, rules judge. https://www.thestar.com.my/…/syarie-lawyer-can… suspension-order-rules-judge/. (Diakses pada 10 Mei 2020).
2. https://www.facebook.com/search/top/?q=Pada%20satu%20sisi%20kita%20nak%20kekang%2Fbanteras&epa=SEARCH_BOX. (Diakses pada 10 Mei 2020).
3. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1995
4. Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008
5. Perlembagaan Persekutuan.

Ditulis oleh

Muhammad Hafizuddin Bin Muhammad,
Kluster Undang-undang,
jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan pengamal undang-undang syariah. Penulisan beliau ini telah berjaya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan oleh JPro. Penulisan ini merupakan pandangan dan pengalaman peribadi penulis.
 

30 Jun 2020