JPro

RM Vs PM : MENDEPANI SITUASI DAN CABARAN

1. Sejak 2018, paras RM berada di sekitar USD1 = RM4.20 dan kemudiannya naik mencecah kepada 4.40 apabila bermulanya pandemik COVID-19 pada Mac 2020 yang bukan sahaja mempengaruhi pasaran Malaysia tetapi seluruh dunia. Namun kedudukan RM dapat distabilkan selepas perjalanan ekonomi berkembang perlahan-lahan daripada kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP), di paras 4.0 sehingga 4.2.
 
2. Pada Ogos 2021, RM pernah mencecah 4.24 yang merupakan prestasi terburuk dalam jangka masa satu tahun. Hal ini disebabkan oleh kes COVID-19 yang meningkat dan juga peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia susulan dirinya hilang sokongan majoriti ahli parlimen.
 
3. Paras RM selepas itu turun dan naik bergantung kepada keadaan ekonomi global. Contohnya apabila Lembaga Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (The Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus pada Jun 2022, RM merosot sehingga 4.6 kerana pelabur memilih untuk melabur di Amerika Syarikat (AS). Hal ini juga mempengaruhi kadar mata wang negara Asia yang lain yang bergantung kepada USD.
 
4. Prestasi RM tidak berkembang baik sejak pengumuman The Fed namun pada akhir November 2022, kadar RM mencecah sekitar 4.45 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Malah RM pada ketika itu mendapat prestasi yang paling terbaik di Asia. Hal ini kerana pelabur lebih yakin dengan situasi politik Malaysia yang dipercayai akan menjadi lebih stabil.
 
5. Namun hari ini kita dapat melihat Ringgit Malaysia (RM) berada di tahap yang paling teruk jika dibandingkan dalam jangka masa lima tahun yang lalu. Pada 30 Jun 2023, kadar US Dollar atau USD 1 adalah bersamaan dengan RM 4.665 ataupun RM 1 bersamaan dengan USD 0.21436. Persoalannya, adakah ini disebabkan oleh tekanan ekonomi global atau para pelabur kurang keyakinan kepada keadaan ekonomi Malaysia? Jika ini disebabkan oleh faktor global, mengapa prestasi mata wang negara-negara jiran tidak seteruk prestasi RM?
 
6. Dalam dunia pelaburan, terdapat dua jenis risiko yang para pelabur perlu pertimbangkan iaitu risiko sistematik (systematic risk) dan risiko tidak sistematik (unsystematic risk). Risiko sistematik adalah risiko yang bersifat makro atau global seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19 dan risiko tidak sistematik adalah risiko yang bersifat mikro yang hanya mempengaruhi sesuatu pasaran, industri atau negara. Walaupun risiko global sukar untuk dikawal, para pelabur boleh mengelak daripada risiko tidak sistematik dengan memilih pasaran lain yang lebih menyakinkan melalui kepelbagaian portfolio.
 
7. Rais Hussin yang merupakan Presiden Emir Research apabila ditanya oleh Nikkei Asia mengenai ekonomi Malaysia, beliau berkata “Kerisauan pertama adalah kestabilan politik…”. Beliau memberi amaran bahawa lebih ramai para pelabur berpotensi untuk lari jika Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihanraya negeri (PRN) yang akan datang.
 
8. Antara faktor lain kepada kejatuhan RM adalah prestasi ekonomi Malaysia yang membimbangkan. Untuk mengurangkan pergantungan kepada mata wang asing melalui pengimportan barang, negara boleh menaikkan eksport untuk membaik pulih ekonomi. Namun industri eksport termasuk industri elektronik, petroleum dan minyak kelapa sawit merosot sebanyak 17.4 peratus dan 0.7 peratus mengikut data bagi April & Mei tahun ini jika dibandingkan dengan prestasi bulan yang sama tahun lepas.
 
9. Tidak dinafikan faktor ekonomi global terus menjadi cabaran seperti pertumbuhan ekonomi China yang merupakan rakan dagang utama Malaysia dan kebergantungan kepada kadar faedah AS, namun risiko ini boleh dibendung jika negara mempunyai pelan ekonomi yang telus dan terancang. Adakah kerana disebabkan Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan menjejaskan fokus beliau dalam mentadbir negara? Harga saham Tesla pernah mencecah paras yang paling buruk pada Disember 2022 apabila CEO Tesla, Elon Musk membeli syarikat Twitter yang dikatakan oleh para pelabur menjejaskan fokus beliau untuk menguruskan dua industri yang berbeza.
 
10. Apa yang perlu dibuat oleh pihak kerajaan adalah mengembalikan keyakinan kepada mereka bukan setakat daripada para pelabur tetapi rakyat Malaysia sendiri. Kita dapat lihat prestasi RM pernah menjadi mata wang terbaik di Asia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri yang dilihat sebagai seorang ‘reformis’ yang telah berjuang untuk rakyat selama bertahun-tahun. Namun harapan itu dihancurkan apabila manifesto dan janji seperti penurunan harga minyak dan membanteras rasuah tidak direalisasikan. Dalam perspektif para pelabur, mereka tidak gemar apabila ada ketidakpastian atau uncertainty dalam pasaran seperti yang berlaku dalam negara sebelum ini.
 
11. Pergerakan RM juga mungkin dilihat sebagai isu yang bersifat sementara namun mangsanya adalah rakyat sendiri. Disebabkan Malaysia adalah negara pengimport atau net importer dalam indusri pemakanan, kadar RM yang lemah akan menyebabkan kos makanan dan barangan menjadi lebih mahal. Kesempatan daripada kadar RM yang rendah bagi menggalakkan persaingan dalam industri eksport juga tidak dapat direalisasikan kerana tekanan ekonomi global yang menjejaskan permintaan.

Ditulis oleh

Shaheer Shahidan
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Penganalisa Kewangan dan Akauntan Bertauliah di salah sebuah syarikat swasta dalam industri ‘market research’.

19 Julai 2023