JPro

SELAMATKAN RAKYAT ATAU SELAMATKAN RINGGIT? PMX JANGAN ULANG KESILAPAN TURKI

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan telah berkata dalam ucapan beliau pada Program Cakna MADANI baru-baru ini bahawa beliau akan memilih untuk menyelamatkan rakyat daripada menyelamatkan kedudukan Ringgit Malaysia (RM) kerana bagi beliau prestasi RM yang lemah sekarang adalah disebabkan kadar faedah yang rendah. Menurut beliau, kadar faedah yang rendah akan mengurangkan beban peniaga kecil dan peminjam.
 
2. Falsafah ini adalah sama dengan falsafah ekonomi Presiden Turki iaitu Recep Tayyip Erdogan di mana beliau telah keluar daripada polisi ekonomi konvensional dengan menurunkan kadar faedah sebanyak sembilan kali sejak akhir tahun 2021. Malah beliau sudah empat kali memecat governor bank yang tidak sehaluan dengan aspirasi beliau kerana mengikut kepercayaan beliau, kadar faedah yang rendah akan menyebabkan inflasi menurun walaupun teori ekonomi mengatakan sebaliknya.
 
3. Walaupun hasrat Presiden Erdogan mungkin murni iaitu untuk tidak mahu terikat dengan kadar faedah, prestasi Turkish Lira telah menjunam teruk sehingga 170 peratus jika dibandingkan dengan US Dollar akibat daripada penurunan kadar faedah yang berlebihan. Turki seperti Malaysia masih bergantung kepada barang import dan oleh sebab itu, kedudukan mata wang yang lemah menyebabkan kadar inflasi yang tinggi sehingga mencecah 85.5 peratus pada bulan Oktober yang lepas. Kadar inflasi yang tinggi kemudiannya diterjemahkan kepada krisis kenaikan harga barang yang terlalu teruk sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.
 
4. Disebabkan keadaan ekonomi yang teruk di Turki, Presiden Erdogan akhirnya membuat langkah u-turn yang agak signifikan baru-baru ini dengan menaikkan kadar faedah daripada 8.5 peratus kepada 15 peratus untuk mengawal inflasi dan harga barang. Hasil daripada langkah tersebut, kadar inflasi terkawal sedikit namun prestasi Turkish Lira masih lemah. Menurut penganalisa, langkah itu agak lewat dan selagi Presiden Erdogan menjadi Presiden, para pelabur masih kurang yakin terhadap polisi ekonomi beliau yang boleh berubah dan beliau sendiri pernah mencampuri urusan bank pusat.
 
5. Peristiwa ini sewajarnya diambil pengajaran oleh Malaysia khususnya Menteri Kewangan yang menggunakan naratif menyelamatkan rakyat daripada menyelamatkan RM. Naratif ini mungkin sedap didengari oleh rakyat tetapi hakikatnya kedua-duanya boleh terjejas berdasarkan keadaan ekonomi Turki yang hanya berlaku dalam jangka masa satu ke dua tahun yang lepas. Sepertimana yang kita ketahui, Malaysia masih net importer dalam industri pemakanan yang bermaksud kebanyakan makanan kita termasuk beras adalah barang import daripada negara luar. Oleh sebab itu, kita masih bergantung kepada kadar pertukaran mata wang asing.
 
6. Sememangnya kadar faedah yang rendah menyebabkan kadar faedah yang perlu dibayar oleh peminjam termasuk rakyat juga berkurang tetapi bukan semua keperluan rakyat dibiayai oleh pinjaman bank. Adakah kita ingin sampai ke tahap rakyat berhutang dengan bank untuk membeli keperluan asas seperti makanan disebabkan harga barang yang terlalu mahal? Hal ini juga boleh dikaitkan dengan rintihan rakyat baru-baru ini dalam akhbar Kosmo mengenai kenaikan belanja barang dapur daripada RM200 sebulan kepada RM500 sebulan.
 
7. Selain itu, peristiwa ini juga mengajar kita bahawa kedudukan mata wang bukan hanya dipengaruhi oleh faktor ekonomi tetapi keyakinan orang luar kepada kepimpinan tertinggi negara juga memainkan peranan. Tidak dinafikan keadaan ekonomi negara juga terjejas daripada faktor global seperti ekonomi Amerika Syarikat dan Cina yang merupakan negara dagang utama Malaysia, tetapi adakah kita menjangka prestasi RM seteruk ini?
 

Ditulis oleh

Shaheer Shahidan
Ahli Kluster Ekonomi dan Kewangan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Ekonomi & Kewangan JPro, Jabatan Profesional Muda (JPro) DPPM. Beliau juga seorang Penganalisa Kewangan dan Akauntan Bertauliah di salah sebuah syarikat swasta dalam industri ‘market research’.

7 Ogos 2023