JPro

SURIRUMAH PROFESIONAL WIRAWATI KEMERDEKAAN

Kepesatan dunia hari ini memerlukan ramai wanita menyertai sektor pekerjaan demi tuntutan kelansungan hidup yang semakin tinggi dan tuntutan tugasan yang memerlukan wanita khusus dalam bidang tertentu. Namun tidak kurang juga ada yang masih memilih untuk menjadi surirumah sepenuh masa atau terpaksa menjadi surirumah sepenuh masa atas pelbagai faktor.
 
Sekitar lima tahun lalu, sehingga 5 September 2017, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan meningkat kepada 54.3 peratus. Tidak hairanlah jumlah wanita bekerjaya yang semakin meningkat “mewujudkan” segelintir masyarakat yang mempersoalkan dan memandang rendah terhadap golongan wanita yang menjadi surirumah sepenuh masa. Hal ini sedikit sebanyak mengguris hati surirumah sepenuh masa yang rata-rata punya alasan tersendiri untuk tidak bekerja.
 
Mutakhir ini, muncul banyak artikel berkenaan surirumah merupakan antara pekerjaan yang paling memenatkan dan kurang masa rehat. Persoalannya : “Adakah surirumah sebuah kerjaya?”
 
Definisi kerjaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah :
1) Perjalanan atau kemajuan seseorang dalam sesuatu lapangan kehidupan.
2) Profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah.
 
Jika merujuk pada definisi kerjaya yang pertama seperti di atas, tidak salah rasanya jika surirumah juga diiktiraf sebagai sebuah kerjaya, hanya saja surirumah tidak mendapat bayaran dari majikan atau keuntungan perniagaan sepenuh masa sepertimana pekerjaan
yang lain.
 
Memetik tajuk artikel dari Astro Awani bertarikh 19 Mac 2018,kajian mendapati tugas surirumah 2.5 kali lebih teruk daripada kerja sepenuh masa. Sewajarmya surirumah juga sebuah kerjaya.
 
Adakah surirumah memberi sumbangan kepada negara? Apakah perkaitan surirumah dengan kemerdekaan?
 
Jika tentera mempertahankan negara,
 
Jika guru mendidik anak bangsa,
 
Jika doktor berusaha menyelamatkan nyawa,
 
Jika polis menjaga ketenteraman dalam negara,
 
SURIRUMAH itu,
 
Boleh jadi seorang isteri yang menenangkan dan memberi semangat pada suami saat suami letih dengan kerjaya, sehingga suami dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perkara sehariannya.
 
Boleh jadi seorang ibu yang fokus mendidik anak-anak dengan cara didikannya sendiri, mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan penuh perhatian, sehingga anak-anak menjadi insan berguna, pewaris negara yang bakal menjaga negara dengan kejayaan cemerlang dan menjaga keharmonian antara kaum dan agama kerana mereka terdidik dengan penuh perhatian dan kasih sayang.
 
SURIRUMAH ITU,
 
Boleh jadi penjaga anak-anak kepada ibu-ibu lain yang perlu bekerja juga untuk negara tercinta.
 
Boleh jadi penjaga kepada ibu ayah atau mentua saat anak menantu lain perlu bekerja.
 
Hal ini bersesuaian dengan hadis Nabi dan juga kata-kata Dr Yusuf Al-Qardhawi :
Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Seorang imam adalah pemimpin dan akan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya dan diminta untuk dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu diminta untuk dipertanggungjawabkan.”
(Riwayat al-Bukhari: 4789)
 
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya (Fatawa Mu’asirah (terj.), 2/202-205) yang menyebut: Walau bagaimanapun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh generasi. Tugas ini disediakan oleh Allah SWT untuk wanita secara fizikal dan mental.
 
Wanita perlu untuk tidak disibukkan daripada mesej agung ini dengan kesibukan isu kebendaan ataupun moral walau apa cara sekalipun. Ini kerana, tiada sesiapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini. Pada tugas ini juga terletaknya masa hadapan umat Islam. Melalui tugas ini juga terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar, iaitu kekayaan umat manusia.
 
Juga memetik kata-kata penyair Mesir, Hafiz Ibrahim,beliau bermadah:
 
Ibu itu adalah sekolah jikalau dia menyediakannya
Menyediakan sebuah masyarakat yang baik asasnya
Walau apa jua pekerjaan yang kita ceburi, haruslah diiringi dengan ilmu dan amal serta niat yang murni. Jika jadi surirumah, jadilah surirumah yang berilmu, yang sentiasa meningkatkan prestasi diri hari demi hari sehingga menjadi surirumah yang profesional.
 
Bagaimana mungkin seorang ibu yang dengan sengaja tidak mahu mempertingkatkan ilmu dan kemahiran diri, mampu mendidik anak-anak untuk menjadi insan berjaya dunia akhirat?
 
Tidak asing di muka berita dan media sosial, surirumah yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik yang akhirnya menyebabkan pelbagai keburukan kepada institusi keluarganya sendiri.
 
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. 
[Riwayat Muslim (4867)]
 
Rumahtangga yang tenang, dirahmati dan dinaungi malaikat, itulah sasaran kehidupan yang akan mewujudkan generasi yang berjaya dan menjaga negara.
 
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: 
“Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9)
 
Setiap pekerjaan adalah penting untuk sesebuah negara tak kira di sektor mana sekalipun kita berada,masing-masing punya peranan tersendiri. Berhentilah membandingkan dan merendahkan antara satu sama lain. Wanita bekerjaya dan wanita surirumah, masing-masing punya peranan yang hebat dalam mengekalkan kemerdekaan, masing-masing punya kemampuan untuk menjadi isteri dan ibu yang baik, asal saja sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran masing-masing.
 
Ayuh kita sama-sama berganding bahu teguh berdiri mempertahankan kemerdekaan tanah air kita dengan seluruh kekuatan yang kita ada demi negara tercinta.
 
“Seorang mukmin dengan mukmin lainnya seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
 
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
(QS. Az-Zalzalah 99: Ayat 7)
 
“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain.” [Ali Imran: 195]
 
 
 

Ditulis oleh

Nurul ‘Ainaa Binti Mohd Hafizuddin
Penulis merupakan pemenang saguhati dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

16 September 2022