JPro

TEGUH MEMBINA NEGARA BANGSA

 
Guru merupakan insan yang diberikan tanggungjawab dalam memastikan modal insan akan dibentuk sesuai dengan aspirasi negara. Pelajar merupakan modal insan yang wajar diberi prihatin supaya kemenjadian mereka akan selaras dengan matlamat dan cita-cita negara. Sebagai seorang pendidik yang berkhidmat mendidik anak bangsa sudah pastinya dibahu terpikul tanggungjawab untuk memastikan akan kemenjadian seorang pelajar itu dari semua aspek termasuk ilmu dan sahsiah.
 
Tugas seorang guru bukan sahaja mencurahkan ilmu kepada para pelajar. namun lebih daripada itu. Guru juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam membentuk sahsiah seorang pelajar agar menjadi seorang insan yang beradab sopan. Hal ini disebabkan dalam apa pun mata pelajaran yang diajar oleh sorang guru, penerapan nilai moral itu tidak akan diabaikan. Keadaan ini disebabkan bagi melahirkan seorang individu yang berpendidik tapi tidak mengabaikan soal akhlak. Maka, sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara yang mengatakan bahawa Pendidikan Malaysia merupaka usaha yang berterusan bagi pembangunan potensi diri individu secara menyeluruh bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
 
Guru juga haruslah dinamik dan berinovasi serta membudayakan ilmu dalam diri supaya dapat membimbing pelajar dengan lebih baik lagi. Hal ini disebabkan, guru perlu sentiasa berupaya berfikiran secara inovatif dan kreatif. Maka, digalakkan seorang guru menimbah ilmu dengan meningkatkan potensi serta pengetahuan menerusi menyambung pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi lagi atau sentiasa mengikuti kursus serta bengkel yang dianjurkan. Tujuannya supaya dapat membantu para pelajar dalam mendidik mereka. Seorang guru yang inovatif dan kreatif akan dapat membantu pelajar agar lebih berkembang bagi meningkatkan potensi diri.
 
Pembentukan dan pembinaan modal insan di dalam pendidikan Malaysia berkaitrapat dengan peranan guru sepertimana hasrat yang terkandung dalam falsafah pendidikan kebangsaan dan falsafah pendidikan guru. Proses ini juga bergantung kepada sejauhmana guru melaksanakan kerjayanya sebagai ibadah dan memiliki sifat peribadi yang unggul. Keadaan ini disebabkan, guru sangat mempengaruhi kemenjadian pelajar. Oleh hal demikan, seorang guru perlu mempunyai perlakuan dan pertuturan yang baik untuk dicontohi dalam pembentukan sahsiah pelajar. Guru perlu menunjukkan sikap yang positif dalam diri pelajar bagi menanamkan sikap yang positif dalam diri pelajar. Dalam konteks membangunkan warga berketrampilan dalam pembinaan negara bangsa, guru sendiri perlu kompeten. Mereka bukan sahaja mesti memiliki pengetahuan tetapi kemahiran dan berkemampuan mengurus hubungan manusia dengan efektif dan efisien. Dalam hal ini guru menjadi suri teladan kepada pelajar masing-masing. Sentiasa mematuhi etika pakaian profesion pendidikan dan memastikan pelajar tidak melanggar peraturan pakaian yang telah ditetapkan juga satu daripada amanah yang mesti disempurnakan oleh guru.
 
Peranan guru secara langsung dalam membentuk generasi pewaris tampuk kepimpinan negara ini berteraskan konsep modal insan yang digagaskan oleh kerajaan. Menjadi tanggungjawab seorang guru dalam menyediakan dan mempersiapkan generasi pelapis ini dalam era revolusi informasi abad ke 21. Oleh itu, guru seharusnya memahami akan peranan mereka sepenuhnya dalam menjayakan modal insan ini. Segalanya perlu bermula dari diri guru tersebut. Menjadi seorang guru yang cemerlang bukan sahaja dinilai dari aspek luaran semata-mata, tetapi yang lebih penting adalah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya, keutuhan peribadinya, kecekapan dan ketrampilan mental dan intelektualnya, kestabilan emosi dan spiritualnya seta kebijaksanaan kepimpinannya. Usaha-usaha ini penting dalam menyiapkan diri mereka sebagai role-model utama terhadap generasi bakal peneraju kemajuan negara suatu hari nanti.
 
Di samping itu, menjadi satu kemestian kepada guru untuk memastikan pelajarnya mempunyai rasa cinta mendalam kepada lambang-lambang kedaulatan negara seperti bendera dan jata negara.Strategi yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membentuk individu berakhlak mulia. Nilai bersyukur sekiranya kerap diterapkan akan membentuk keperibadian unggul dalam kalangan pelajar. Begitu juga dengan penerapan nilai menghormati orang lain akan melahirkan masyarakat yang saling menyayangi dan menyanjung tinggi antara satu sama lain dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
 
Dalam membina negara bangsa, warganya mestilah berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Dalam hal ini guru perlu istiqamah untuk membangun pelajar yang holistik dalam konteks jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta seimbang dalam menguasai ilmu dunia dan akhirat. Tanggungjawab setiap insan semestinya berusaha untuk memperoleh kehidupan yang bahagia, aman dan damai. Gurulah yang menjadi tunjang utama dalam merealisasikan kesejahteraan diri insan yang dipimpinnya. Oleh itu, menjadi amanah kepada guru untuk melahirkan warga yang tidak mementingkan diri sendiri. Menjadi harapan kepada guru untuk mereka melahirkan insan yang boleh membantu orang lain untuk turut menikmati kebahagiaan dan kesejahteraan diri.
 
Guru juga boleh mencuba sesuatu yang baharu seperti melibatkan pelajar melibatkan pelajar dengan masyarakat adalah penting dalam kehidupan mereka seperti dengan aktiviti sekolah iaitu hari Kejohanan Olahraga dan Balapan, Hari Guru, Hari Keusahawanan, Hari Kecemerlangan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Bagi memastikan guru berjaya melahirkan warga yang boleh menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara. Pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme, patriotisme, mengamalkan semangat perpaduan dan integrasi serta sehati sejiwa dalam mempertahankan nama baik dan kedaulatan Malaysia mesti diusahakan oleh semua guru. Hasrat tersebut tidak akan dicapai sekiranya hanya guru bidang sains sosial sahaja yang dipertanggungjawabkan. Guru-guru yang mengajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik juga perlu memainkan peranan secara kolektif.
 
Guru sewajarnya melaksanakan inisiatif berterusan dalam melahirkan warga yang mencintai negara seperti membawa pelajar ke tempat-tempat bersejarah di Malaysia. Membentuk kumpulan dalam perbincangan di bilik darjah atau tugasan di luar bilik darjah yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Paling penting guru mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengajar kurikulum pelbagai budaya. Pihak kepimpinan sekolah yang terdiri daripada pengetua dan pentadbir kanan lain sebaik-baiknya sentiasa memberi ingatan dan teladan kepada guru lain bagi merealisasikan peranan guru dalam membina negara bangsa.
 
Negara bangsa memerlukan ejen perubahan demi pembangunan negara. Pada masa yang sama negara bangsa perlu mempertahankan tradisi dan identiti Malaysia. Oleh itu guru dalam membina negara bangsa, perlu dinamik melahirkan pelajar yang boleh mencipta kemajuan dan lestari mempertahankan tradisi agar mereka mempunyai jati diri. Guru mempunyai amanah untuk membangunkan insan yang berfikiran dan bertindak berpaksikan budaya tempatan dan berfikiran antarabangsa dalam meniti alam pekerjaan dan kehidupan demi sebuah negara bangsa bernama Malaysia.

Ditulis oleh

Ruhana @ Venel Natasha Nasir
Penulis merupakan peserta dalam pertandingan penulisan sempena hari kemerdekaan dan hari Malaysia anjuran JPro dengan tema #teguhmembinanegara.

26 September 2022