JPro

ZON REMUK MYVI 1.5 AV: TEORI DAN APLIKASI

Memandu kenderaan di atas jalan raya sentiasa mendedahkan kita kepada pelbagai risiko bahaya seperti perlanggaran dengan kenderaan lain dan kenderaan hilang kawalan ketika hujan lebat. Untuk mengurangkan risiko tersebut, pemandu perlu memperoleh lesen mamandu terlebih dahulu dan kenderaan yang di naiki perlulah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan seperti zon remuk, tali pinggang keledar dan beg udara automatik.
 
Zon remuk terletak di bahagian hadapan dan belakang kereta. Tujuan zon remuk adalah untuk mengurangkan impak ketika pelanggaran. Tenaga yang digunakan untuk menghancurkan zon remuk dapat memperlahan kenderaan yang sedang berlanggar seterusnya mengurangkan impak terhadap pemandu dan penumpang. Konsep ini juga dapat diterangkan melalui teori fizik seperti yang berikut:
 
F = m x a,
(F = daya, m = jisim, a = pecutan)
a = (v-u)/t,
(v = had laju akhir, u = had laju awal, t = masa)
F = m (v-u)/t
 
Bayangkan sebuah kereta Myvi 1.5 AV yang berjisim 1,105 kg dipandu pada kelajuan 120 km/h (bersamaan dengan 33.33 m/s) melanggar sebuah dinding dan ianya berlaku dalam tempoh 0.04 saat. Daya yang bakal diterima oleh bahagian hadapan kereta adalah sebanyak 920,741 N (1) atau bersamaan dengan dihempap oleh 17 ekor gajah.
 
(1) … F = m (0-120)/0.04 = 920,741 N
 
Namun begitu, jika zon remuk boleh memperlahankan kenderaan dan meningkatkan masa sebelum impak kepada 0.08 saat, daya tersebut dapat dikurangkan kepada 428,874 N (2) atau bersamaan dengan dihempap oleh 8 ekor gajah sahaja. Ini adalah separuh daripada jumlah impak asal.
 
(2) … F = m (0-120)/0.08 = 460,370 N
 
Berdasarkan teori fizik tersebut, semakin panjang zon remuk sesebuah kenderaan, semakin berkurang daya impak yang akan terhasil. Namun begitu, daya juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti berat dan kelajuan kenderaan yang di bawa sebelum pelanggaran berlaku. Oleh sebab itu, para pemandu di syorkan untuk menjaga jarak selamat apabila sedang memandu di belakang kenderaan lain.
 
Konsep zon remuk juga telah diguna pakai dalam pembuatan topi keledar. Topi keledar yang berkualiti mempunyai lapisan span yang mematuhi standard piawaian keselamatan. Lapisan span ini diletakkan dengan tujuan untuk menyerap daya hentakan hasil dari impak pelangaran. Kesannya, risiko kecederaan di bahagian kepala pemakai topi keledar dapat diminimakan.
 
Keselamatan semasa di jalan raya bukanlah suatu perkara yang remeh. Walaupun setiap kenderaan telah dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan, ini bukan alasan untuk kita leka di atas jalan raya. Teruskan menjadi pemandu yang berhemah ketika memandu demi keselamatan diri, keluarga dan orang di sekeliling kita.

Ditulis oleh

Muhamad Hafiz Hadi Bin Sumardi,
Kluster Kejuruteraan,
Jabatan Profesional Muda, DPPM
Penulis merupakan ahli Kluster Kejuruteraan JPro dan juga seorang jurutera aset integriti di sebuah syarikat gas dan minyak.

26 September 2021